
BAYAN LEPAS: Malaysia sedang meneliti beberapa pasaran alternatif bagi memastikan bekalan minyak mentah dan produk petroleum bertapis negara kekal terjamin susulan ketidaktentuan geopolitik yang melanda Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan sememangnya giat mencari sumber bekalan baharu selaras dengan hasrat yang pernah dinyatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, antara kawasan yang sedang diberi perhatian termasuk negara-negara di benua Afrika, Russia, Turkiye dan rantau Amerika Selatan, selain terus mendapatkan bekalan minyak bertapis dari Singapura sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan sumber tenaga negara.
“Tetapi sudah pasti ia juga harus mencakupi atau perlu dilihat dalam aspek ketersediaan fasiliti kita untuk memproses bekalan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, setiap bekalan minyak mentah mempunyai ciri dan komposisi berbeza mengikut kawasan pengeluar, justeru kesesuaiannya dengan kemudahan pemprosesan negara perlu dinilai terlebih dahulu.
“Sebab kita tahu setiap bekalan minyak mentah yang datang daripada kawasan berbeza mempunyai karakter minyak yang berbeza. Sebab itu biasanya pihak Petronas akan menilai daripada segi ketersediaan fasiliti kita untuk menerima bekalan berkenaan.
“Jadi, ini bukan soal semata-mata mahu mencari (bekalan minyak) di semua tempat, tetapi bagaimana bekalan di sesetengah tempat itu sesuai dengan fasiliti yang kita ada,” jelasnya.







