
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan sistem MyDigital ID mampu memainkan peranan penting dalam usaha mengekang jenayah penipuan menerusi kaedah pengesahan identiti yang lebih selamat dan sukar dimanipulasi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya telah mengadakan dua sesi libat urus bersama MyDigital ID dan berpandangan penggunaan platform itu secara meluas berupaya mengurangkan risiko penipuan dengan memperkukuh proses verifikasi identiti pengguna.
“Kita percaya apabila menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, ia akan menjadi antara (mekanisme) yang boleh menghalang penipuan dalam talian,” katanya pada sidang media selepas Acara Penghargaan Bank Heroes #JanganKenaScam 2026 di Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.
Mengulas kebimbangan berkaitan kemungkinan berlakunya kebocoran data pengguna, Rusdi menjelaskan MyDigital ID dibangunkan dengan pelbagai lapisan keselamatan yang kukuh, sekali gus diyakini dapat meminimumkan risiko penyalahgunaan serta pemalsuan identiti.
“Kalau kita tengok dalam MyDigital ID itu, banyak punya ciri-ciri keselamatan dan kita percaya ciri-ciri keselamatan yang ada ini sukar ditiru, maknanya boleh mencegah daripada penipuan.
“Kita dah ada keterlibatan dan cuma sekarang ini yang diusahakan supaya dalam urusan yang digunakan di mana-mana bank itu menggunakan MyDigital ID,” katanya.






