
SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan akan mengekalkan lebih separuh daripada penyandang sedia ada sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ia sebagai usaha mempertahankan rekod cemerlang memenangi semua kerusi yang ditandingi sejak 2013.
Beliau berkata, senarai calon parti itu kini di peringkat akhir dan pengumuman akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi, selain berhasrat menampilkan beberapa muka baharu.
“Senarai calon akan diumumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada mereka membuat persiapan dan menyesuaikan diri dengan kawasan yang bakal ditandingi, khususnya calon baharu.
“Mana-mana wakil rakyat yang digantikan perlu membantu serta menyokong calon baharu bagi menjamin kemenangan dan mengekalkan kekuatan parti,” katanya selepas merasmikan Skrin Elektronik Lobak di Dataran Lobak di sini hari ini.
Sebelum ini, Loke yang juga Pengerusi DAP negeri itu dilaporkan berkata beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN kali ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.





