
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih yang terletak dalam Hutan Simpan Bukit Tapah susulan insiden kehilangan seorang pendaki wanita baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kejadian seumpama yang menimpa Jaslinda Saludin ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu tidak berulang.
Menurutnya, bagi membolehkan kajian dan penambahbaikan SOP dilaksanakan secara menyeluruh, kawasan pendakian Gunung Batu Putih akan ditutup sementara antara tiga hingga enam bulan.
“Beberapa SOP sedia ada perlu dinilai semula dan ditambah baik melibatkan Malim Gunung Perhutanan (MGP), pendaki serta kerjasama antara jabatan, MGP dan masyarakat Orang Asli.
“Keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan jabatan. Kita mahu memastikan setiap individu yang memasuki kawasan hutan simpan dapat menjalankan aktiviti rekreasi tanpa berdepan sebarang risiko tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia Ke-46 di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Mohd Basri berkata, pihaknya kini mewajibkan semua individu yang memasuki kawasan hutan simpan mendapatkan permit serta menggunakan khidmat MGP yang berpengalaman sepanjang aktiviti dijalankan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang merancang untuk mendaki Gunung Batu Putih dalam tempoh terdekat supaya bersabar sehingga kajian SOP selesai dilaksanakan.
“Jabatan akan membuka semula kawasan pendakian tersebut selepas segala penilaian selesai dibuat dengan mengambil kira pandangan serta nasihat daripada agensi-agensi penyelamat berkaitan,” katanya.
Timbalan Pengerusi Malim Gunung Perak, Nur Shahira Abdul Rauf berkata, pihaknya menghormati keputusan JPNP menutup sementara laluan pendakian Gunung Batu Putih demi kepentingan dan keselamatan semua pihak.
Katanya, lebih 350 ahli MGP di Perak kini terlibat dalam aktiviti pendakian dan pengurusan kawasan hutan simpan, manakala negeri itu mempunyai kira-kira 55 lokasi pendakian termasuk lima gunung utama yang menjadi tumpuan pendaki tempatan dan luar negara.
Menurutnya, Gunung Batu Putih merupakan antara destinasi popular yang hampir setiap minggu menerima kunjungan pendaki secara individu mahupun berkumpulan sebelum insiden kehilangan Jaslinda yang ditemukan selepas tersesat selama 15 hari.






