
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kertas siasatan berhubung aduan yang dibuat Tei Jiann Cheing atau Albert Tei terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menurut AGC, hasil penelitian menyeluruh mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan gagal dibuktikan.
“Sehubungan itu, AGC memutuskan supaya kes tersebut tidak diteruskan dengan sebarang tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, Albert membuat beberapa dakwaan terhadap Azam yang dikaitkan dengan pertikaian serta siasatan yang sedang berjalan.
Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah beliau kononnya diugut, dihalang dan menjadi mangsa selepas cuba mendedahkan skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.
Pada masa sama, Azam turut memfailkan saman fitnah terhadap Albert Tei susulan kenyataan yang dibuat berkaitan isu berkenaan.
Azam menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei lalu selepas hampir 40 tahun berkhidmat dalam agensi antirasuah itu, termasuk lima tahun menerajui badan berkenaan.
Keputusan AGC itu sekali gus menutup siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah yang dikemukakan terhadap Azam kerana tidak terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.





