
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 bagi negeri Johor dan 1 Ogos 2026 bagi Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon bagi Johor ditetapkan pada 27 Jun 2026 manakala hari mengundi awal pada 7 Julai 2026.
Beliau berkata, bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai 2026 manakala hari mengundi awal pada 28 Julai 2026.
“SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan PRN Johor Ke-16 dan Negeri Sembilan Ke-16 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan tersebut.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai 2026 (Jumaat) bagi PRN Johor.
“Manakala bagi urusan PRN Negeri Sembilan ditetapkan mulai pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 Julai 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai 2026 (Jumaat),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Urusan PRN Johor dan Negeri Sembilan ke-16 di Menara SPR di sini, hari ini.
Ramlan berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRN Johor telah dibuka bermula dari 5 Jun 2026.
“Manakala tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A pada 24 Jun 2026, manakala kategori 1B dan 1C masing-masing pada 19 Jun 2026,” katanya.







