
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pelarian Rohingya yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan negara, termasuk membabitkan aktiviti perniagaan dan pembinaan bangunan tanpa kebenaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tetap berpegang kepada prinsip kemanusiaan dalam menguruskan isu pelarian, namun semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang berada di negara ini.
Beliau berkata, isu kebanjiran penduduk Rohingya turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi meneliti langkah yang perlu diambil kerajaan.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar, khususnya, Rohingya, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita. Bangunannya, perniagaannya mesti mengikut peraturan.
“Kita juga akan bincang dengan kerajaan negeri kerana isu bangunan dan perbandaran adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan mereka juga harus bertegas,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Anwar menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri supaya memperketat penguatkuasaan serta pemantauan bagi membendung sebarang pelanggaran peraturan atau penyalahgunaan premis yang melibatkan pelarian Rohingya.
Mengulas cadangan agar golongan itu dihantar pulang ke negara asal, Anwar berkata isu berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan kerana ia membabitkan krisis kemanusiaan yang rumit dan berlarutan.
Menurut beliau, usaha untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar atau menempatkan mereka di negara ketiga masih berdepan pelbagai kekangan, sekali gus menyebabkan penyelesaian menyeluruh terhadap isu itu belum dapat dicapai.
“Orang boleh bicara hantar pulang, hantar pulang ke mana? Sebab kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang. Jadi, dalam rundingan saya dua kali dengan pimpinan Myanmar, saya minta dua perkara.
“Pertama, bantuan yang kita beri itu dijamin dapat (memberi) manfaat kepada semua (dan) ini dipersetujui. Kedua, hentikan penindasan dan jenayah ke atas rakyat Myanmar, Muslim mahupun bukan Islam di Rakhine dan juga di Myanmar seluruhnya,” katanya.






