
KUALA LUMPUR: Pengasas Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar ganti rugi berjumlah RM67.5 juta sebagai satu bentuk keadilan yang akhirnya diperoleh selepas pertikaian berhubung barang kemas mewah itu berlarutan selama bertahun-tahun.
Ahli perniagaan berusia 51 tahun dari Lubnan itu berkata, keputusan mahkamah tersebut memberi kelegaan kepadanya selepas melalui proses perundangan yang mengambil masa lapan tahun untuk diselesaikan.
Menurutnya, penghakiman berkenaan turut meningkatkan keyakinannya terhadap integriti dan keupayaan sistem kehakiman Malaysia dalam menegakkan keadilan.
“Saya gembira dengan keputusan ini. Mahkamah Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa ia bebas.
“Penghakiman itu sangat jelas. Saya berasa nama saya telah dibersihkan,” katanya.
Samer berkata, syarikatnya berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses litigasi, termasuk dakwaan bahawa tuntutan yang difailkan adalah palsu serta serangan terhadap kredibiliti peribadinya.
“Ia mengambil masa lapan tahun untuk mencapai keputusan ini, dengan pelbagai halangan termasuk kempen negatif di media sosial oleh pihak tertentu yang mendakwa syarikat dan tuntutan kami adalah palsu.
“Terdapat juga usaha untuk mempertikaikan kredibiliti saya. Oleh itu, saya berasa nama saya akhirnya dibela,” katanya.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Quay Chew Soon, memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan selepas mendapati beliau bertanggungjawab kerana gagal memulangkan 43 barang kemas mewah yang dibekalkan secara konsainan






