
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasa golongan pekebun kecil kelapa sawit melalui pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), bantuan tanam semula serta pembangunan infrastruktur ladang bagi memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing di peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pekebun kecil merupakan nadi penting kepada industri sawit negara yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi tempatan dan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong menambah, dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu akibat ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global, sektor sawit terus memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi negara.
“Industri ini menjadi sumber pendapatan rakyat dan penyumbang kepada keselamatan makanan serta tenaga negara.
“Justeru, MSPO bukan sekadar satu pensijilan tetapi bukti komitmen Malaysia terhadap amalan pengeluaran sawit yang mampan, bertanggungjawab dan diyakini oleh pasaran antarabangsa.
“Ia menjadi benteng penting dalam mempertahankan reputasi minyak sawit negara daripada pelbagai dakwaan dan persepsi negatif yang tidak berasas,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit Daerah Batu Pahat di Dewan Peladang Sri Medan, Batu Pahat, Johor hari ini.
Program anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta penerimaan terhadap pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil, di samping meraikan kejayaan mereka memperoleh pensijilan tersebut.

Dalam pada itu, Noraini berkata, Johor mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila lebih 54,000 pekebun kecil telah memperoleh pensijilan MSPO manakala lebih 16,000 pekebun kecil di daerah Batu Pahat telah berjaya disijilkan setakat ini.
Beliau menjelaskan, bagi membantu meningkatkan produktiviti kebun dan pendapatan pekebun kecil, Kerajaan terus menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0, khidmat nasihat TUNAS, program kawalan penyakit tanaman serta pelaksanaan amalan pertanian baik.
“Kerajaan tidak mahu mana-mana pekebun kecil tercicir. Kita mahu mereka terus maju, meningkatkan hasil dan menikmati pendapatan yang lebih baik.
“Apabila pekebun kecil maju, ekonomi tempatan akan berkembang dan industri sawit negara akan menjadi lebih kukuh,” ujarnya.
Di Batu Pahat sahaja, sebanyak 222 permohonan di bawah TSPKS 2.0 telah diluluskan melibatkan keluasan melebihi 430 hektar manakala sembilan projek Jalan Ladang Pekebun Kecil telah diluluskan dengan peruntukan melebihi RM1.8 juta bagi memudahkan pengangkutan hasil dan meningkatkan kecekapan operasi pekebun kecil.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti pekebun kecil di Batu Pahat yang terus menjadi antara penyumbang utama kepada kemajuan industri sawit negara dan berjanji akan terus memperjuangkan agenda pembangunan sektor agrikomoditi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.





