
PUTRAJAYA: Pemulihan bekalan minyak global dijangka mengambil masa walaupun Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai perjanjian damai, berikutan gangguan laluan perdagangan serta kerosakan infrastruktur akibat konflik.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, krisis geopolitik global memberi kesan kepada ekonomi negara khususnya melibatkan bekalan minyak dan perkembangan ke arah perdamaian amat dinantikan.
Beliau berkata, kesan positif perjanjian damai terhadap pasaran minyak dan ekonomi dunia tidak akan dirasai kerana proses pemulihan memerlukan masa.
“Sekiranya benar perjanjian damai itu boleh dicapai, kesannya itu mungkin akan mengambil masa kerana proses memulihkan keadaan dari segi laluan di Selat Hormuz (dan) kerosakan kepada infrastruktur yang terkesan ketika peperangan.
“Jadi itu mengambil masa untuk dipulihkan sepenuhnya,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan AS dan Iran yang telah bersetuju untuk mencapai perjanjian damai.
Beliau menjelaskan, Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan minyak global dan sebarang gangguan di kawasan itu memberi implikasi kepada kos tenaga serta tekanan inflasi di banyak negara termasuk Malaysia.
Katanya, Kementerian Ekonomi akan terus memantau perkembangan semasa dan mengekalkan langkah mitigasi bagi meredakan tekanan ekonomi termasuk menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).





