
PUTRAJAYA: Kadar inflasi negara dijangka kekal terkawal antara 1.5 dan 2.5 peratus sepanjang tahun ini meskipun berdepan tekanan daripada krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan geopolitik global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kadar inflasi ketika ini direkodkan pada 1.9 peratus, jauh lebih rendah daripada unjuran inflasi global sebanyak 4.3 peratus.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan inflasi tidak memberi kesan renjatan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat walaupun tekanan harga dijangka berterusan.
“Untuk tahun 2026, unjuran yang kita selesa adalah inflasi antara 1.5 dan 2.5 peratus. Ini sasaran kita supaya pergerakan inflasi kekal dalam ruang lingkup yang boleh kita hadapi dan tidak memberi kesan yang terlampau ketara kepada kehidupan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan peringkat Kementerian Ekonomi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai jangkaan tekanan inflasi pada suku kedua tahun ini berikutan gangguan bekalan tenaga global dan impaknya terhadap sektor pengangkutan serta makanan.
Akmal Nasrullah berkata, tekanan inflasi ketika ini berpunca daripada kenaikan kos berkaitan bekalan minyak dan input barangan yang diperlukan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi.
Beliau berkata, kerajaan meneruskan pelbagai langkah mitigasi termasuk penyaluran subsidi bahan api secara bersasar dan kawalan kos logistik menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Katanya, tambahan pembiayaan RM5 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan Bank Negara Malaysia bagi membantu kelangsungan perusahaan kecil.
Bagaimanapun, beliau mengakui tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya krisis global berlarutan.





