
Piala Dunia 2026 bukan sekadar kejohanan bola sepak terbesar di dunia malah bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah sukan itu.
Dengan penyertaan rekod 48 pasukan dan penganjuran merentasi tiga negara, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut memperkenalkan beberapa peraturan baharu yang berpotensi mengubah landskap bola sepak antarabangsa.
Ceritera merungkai antara 10 pembaharuan yang diperkenalkan pada Piala Dunia 2026.
Pengadil hanya berkomunikasi dengan kapten pasukan
Dalam usaha mengurangkan bantahan berlebihan, FIFA mengehadkan hanya kapten pasukan dibenarkan mendekati dan berbincang dengan pengadil dalam situasi tertentu.
Pemain lain boleh dikenakan amaran jika mengerumuni pengadil.
Kad merah jika menutup mulut ketika bertengkar
Para pemain yang menggunakan tangan, lengan atau jersi untuk menutup mulut ketika bersemuka atau bertengkar dengan pihak lawan akan dikenakan kad merah.
Peraturan tersebut tercetus susulan insiden dalam Liga Juara-Juara Eropah melibatkan bintang Real Madrid, Vinícius Junior dan pemain Benfica, Gianluca Prestianni.
Bagaimanapun, pemain masih dibenarkan menutup mulut ketika berbual secara biasa jika mereka tidak mahu percakapan mereka dibaca melalui pergerakan bibir.
Pertukaran pemain dalam tempoh 10 saat
Apabila seseorang pemain diarahkan keluar untuk digantikan, dia mempunyai masa 10 saat untuk meninggalkan padang melalui laluan keluar yang paling hampir.
Jika gagal, pemain gantian perlu menunggu sehingga satu minit atau sehingga permainan dihentikan semula sebelum dibenarkan masuk.
Had 5 saat untuk memulakan semula permainan
Jika pengadil merasakan seseorang pemain mengambil masa terlalu lama untuk melakukan lontaran ke dalam atau sepakan penjuru, kiraan lima saat akan dimulakan.
Pasukan yang gagal memulakan permainan selepas tamat kiraan, pihak lawan akan diberikan bola berkenaan.
Rehat hidrasi
Rehat hidrasi akan diberikan pada setiap separuh masa bagi membolehkan pemain mendapatkan semula tenaga dan mengelakkan risiko dehidrasi.
Ia berikutan para pemain dijangka berdepan cuaca panas yang mencabar di tiga buah negara tuan rumah kali ini.
Pemain cedera perlu keluar padang
Jika pemain di padang memerlukan rawatan daripada pasukan perubatan, mereka perlu meninggalkan padang selama satu minit selepas rawatan diberikan.
Pengecualian diberikan kepada situasi pelanggaran serius, kecederaan parah atau penjaga gol.
Larangan tactical timeout ketika kecederaan penjaga gol
Sebelum ini, pemain sering mengambil kesempatan untuk mendapatkan arahan taktikal daripada jurulatih ketika penjaga gol menerima rawatan.
Begitupun, pemain dikehendaki kekal berada di posisi masing-masing di dalam padang pada Piala Dunia kali ini.
Kad merah jika keluar padang sebagai tanda bantahan
Pemain yang meninggalkan padang sebagai tanda membantah keputusan pengadil akan terus dilayangkan kad merah.
Peraturan sama turut dikenakan kepada jurulatih yang menggalakkan tindakan tersebut.
Jika sesebuah pasukan menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan atau dibatalkan akibat tindakan bantahan, mereka boleh dianggap kalah secara percuma.
Peraturan tersebut diperkenalkan susulan insiden kontroversi pada perlawanan akhir kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) antara Senegal dan Maghribi.
Masa tambahan kecederaan dikira dengan lebih tepat
FIFA mengekalkan pendekatan mengira masa kecederaan secara lebih terperinci seperti yang diperkenalkan pada Piala Dunia 2022.
Sebarang pembaziran masa, sambutan gol, kecederaan atau pertukaran pemain akan ditambah secara lebih tepat.
Semakan baharu VAR
Video Bantuan Pengadil (VAR) kini boleh menyemak beberapa situasi tambahan, antaranya:
- Sepakan penjuru yang diberikan secara tersilap, jika semakan tidak melambatkan permainan.
- Kesalahan menyerang yang berlaku sebelum bola dimainkan semula, seperti ketika situasi bola mati.
- Kad merah yang berpunca daripada kad kuning kedua yang jelas diberikan secara salah.
- Kes tersilap mengenal pasti pemain yang melakukan kesalahan sehingga menyebabkan pemain lain menerima kad kuning atau kad merah.







