
KOTA KINABALU : Kerajaan memberi jaminan bekalan petrol dan diesel di stesen minyak seluruh negara kekal mencukupi walaupun negara berdepan peningkatan kos subsidi susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelbagai langkah awal telah dilaksanakan bersama pemain industri bagi memastikan kelancaran bekalan bahan api serta mengelak sebarang gangguan yang boleh menjejaskan pengguna.
Beliau menjelaskan, penubuhan Pasukan Petugas Khas M10 serta kerjasama strategik dengan Petronas dan syarikat-syarikat minyak membolehkan kerajaan memantau situasi bekalan secara berterusan serta memastikan keperluan pasaran dipenuhi.
Menurutnya, bekalan bahan api bagi tempoh Jun dan Julai berada pada tahap yang memuaskan hasil penyelarasan rapi antara kerajaan dan pihak industri.
“Setakat ini melalui Pasukan Petugas Khas dan kerjasama Petronas yang menggunakan rangkaian luas sedia ada, kerajaan berusaha memastikan wujudnya keterjaminan bekalan.
“Setakat ini seperti yang disebutkan Timbalan Perdana Menteri bahawa bekalan bahan api untuk Jun selesai, Julai selesai, bekalan itu mencukupi dan kita akan terus memastikan bekalan tersebut terjamin,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan kad Fleet di sini, hari ini.
Armizan berkata, tindakan pantas kerajaan membolehkan bekalan petrol dan diesel terus tersedia di stesen minyak di seluruh negara tanpa gangguan besar.
“Kerajaan, industri, syarikat-syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak bekerjasama rapat bagi memastikan bekalan itu ada serta diurus dengan baik supaya tidak berlaku ketirisan.
“Insya-Allah kerajaan akan memastikan jaminan bekalan itu dapat diteruskan setiap bulan dan bekalan jangka panjang terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan subsidi bersasar bagi memastikan golongan yang layak menerima bantuan meskipun kos yang perlu ditanggung kerajaan semakin meningkat.
Beliau berkata, penerima Program BUDI MADANI masih menikmati petrol pada harga subsidi RM1.99 seliter dengan kuota sehingga 200 liter sebulan.
Selain itu, beliau menambah, bantuan subsidi turut diteruskan kepada sektor pengangkutan awam, pengangkutan barangan serta komuniti nelayan bagi mengurangkan beban kos operasi mereka.
“RM1.99 bagi penerima BUDI MADANI itu mencukupi dengan kuota 200 liter bagi setiap individu yang layak.
“Bagi SKDS pula, RM2.15 untuk sektor pengangkutan barangan dan RM1.88 bagi pengangkutan awam juga terus dikekalkan, begitu juga subsidi nelayan walaupun implikasi kewangannya cukup besar,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengurusan subsidi, Armizan berkata kerajaan perlu memastikan setiap dana awam yang diperuntukkan disalurkan secara tepat kepada golongan dan sektor yang benar-benar layak, di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan.
Beliau berkata, perbelanjaan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sahaja mencecah RM2 bilion sepanjang tahun lalu.
Pada masa sama, Armizan menjelaskan, kerajaan turut merekodkan peningkatan ketara kos subsidi tahun ini susulan konflik di Asia Barat serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.
“Jumlah subsidi diesel bagi kedua-dua negeri itu meningkat daripada RM103 juta pada Januari kepada RM106 juta pada Februari, sebelum melonjak dengan ketara kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April,” ujarnya.





