
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan infrastruktur tebatan banjir yang efektif serta memperkukuh sistem bekalan air di negeri Kedah.
Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri PETRA berkata, Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling Kedah yang telah siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu dengan kos keseluruhan RM26.32 juta disiapkan setahun lebih awal daripada jadual.
“Pelaksanaan projek ini adalah sebagai langkah mitigasi khusus bagi menangani ancaman fenomena kepala air, banjir lumpur dan aliran puing yang berisiko tinggi di kawasan hulu SungaiKupang.
“Skop projek merangkumi pembinaan dua struktur sabo, kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing sungai, pembinaan laluan penyelenggaraan serta pemasangan sistem pemantauan dan amaran awal.
“Pelaksanaan projek ini dijangka memberi perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk dan kawasan seluas kira-kira 4,200 hektar sekali gus mengurangkan risiko kemusnahan akibat kejadian kepala air dan banjir lumpur yang boleh mengancam keselamatan nyawa serta menjejaskan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan perkembangan pelaksanaan fizikal projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling, Kedah, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 (Kerja-Kerja Menaiktaraf Sungai Kupang (Melebar Dan Mendalam), Menaiktaraf Struktur Lintasan, Pembinaan Ban dan Kerja-Kerja Berkaitan) serta Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut meninjau Projek RTB Baling Fasa 1 bernilai RM15 juta yang merupakan antara inisiatif utama Kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di kawasan Pekan Kupang dan sekitarnya.
Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2027 itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Kupang sepanjang 4.4 kilometer, pembinaan kolam takungan banjir, pembinaan ban dan tembok perlindungan banjir, penaiktarafan struktur lintasan serta kerja-kerja berkaitan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran dan aliran sungai.
Abdul Rahman memberitahu, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar dengan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan tahap keselamatan komuniti serta melindungi harta benda dan infrastruktur awam.
Katanya, kedua-dua projek di atas dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sementara itu, beliau menambah, Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dengan kos sebanyak RM147.78 juta adalah antara inisiatif strategik Kerajaan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat agar keperluan semasa dan masa hadapan penduduk di Daerah Kuala Muda serta kawasan sekitar dapat dipenuhi.
“Hal ini selaras dengan usaha Kerajaan dalam memastikan bekalan air yang mencukupi, berkualiti dan mampan kepada rakyat.
“Projek ini merupakan projek geran langsung Kerajaan Persekutuan di bawah PETRA dan dilaksanakan oleh JKR Negeri Kedah,” katanya.
Abdul Rahman menegaskan, PETRA akan terus memperkukuh pelaksanaan projek-projek tebatan banjir, mitigasi bencana air dan keperluan air terawat di seluruh negara.
Katanya, ia selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat melalui pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan dan inklusif,” ujarnya






