
KUALA LUMPUR: Adidas Trionda Pro yang merupakan bola rasmi Piala Dunia FIFA 2026 membawa revolusi baharu dalam dunia bola sepak.
Ia menggabungkan teknologi pintar, reka bentuk futuristik dan simbolik yang mencerminkan semangat tiga negara tuan rumah.
Berikut merupakan enam fakta menarik yang menjadikan Trionda Pro antara bola paling canggih pernah dihasilkan Adidas.
Trionda melambangkan tiga negara tuan rumah
Nama Trionda berasal daripada gabungan konsep Three Waves atau Tiga Gelombang yang melambangkan kerjasama tiga negara penganjur.
Reka bentuk bola rasmi berkenaan menampilkan simbol bintang Amerika Syarikat, daun maple Kanada dan helang Mexico.
Rekaan unik empat panel
Tidak seperti kebanyakan bola moden yang menggunakan lebih banyak panel, Trionda Pro dibangunkan dengan hanya empat panel utama disambungkan menggunakan teknologi thermal bonding.
Ia menjadikan Trionda Pro antara reka bentuk paling unik dalam sejarah bola rasmi Piala Dunia.
Dilengkapi cip pintar teknologi AI
Di dalam bola tersebut terdapat sensor gerakan 500Hz yang mampu menghantar data masa nyata kepada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Teknologi berkenaan dapat membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat berkaitan ofsaid, sentuhan tangan dan sentuhan bola.
Inspirasi La Ola
Corak alunan pada Trionda Pro mendapat sentuhan inspirasi daripada fenomena La Ola atau Mexican Wave yang sering dilihat di stadium bola sepak seluruh dunia.
Rekaan itu mencerminkan semangat dan tenaga penyokong bola sepak.
Mendapat penarafan FIFA Quality Pro
Trionda Pro memperoleh pensijilan tertinggi FIFA iaitu FIFA Quality Pro. Ia telah melepasi ujian ketat melibatkan berat, penyerapan air, ketahanan bentuk dan kestabilan penerbangan.
Mesra alam
Adidas Trionda Pro bukan sahaja menampilkan teknologi terkini malah dibangunkan dengan mengambil kira aspek kelestarian alam.
Penghasilan bola berkenaan menggunakan bahan-bahan yang lebih mesra alam serta proses pembuatan bertujuan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar selari komitmen Adidas untuk menghasilkan produk sukan lebih lestari.






