
KUALA LUMPUR: Di sebalik kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 yang dipenuhi bintang ternama seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Lamine Yamal, seorang penjaga gol berusia 40 tahun dari negara kecil Cape Verde tiba-tiba menjadi tumpuan dunia.
Josimar Jose Evora Dias atau lebih dikenali sebagai Vozinha tampil dengan persembahan luar biasa untuk membantu pasukannya mengikat gergasi Eropah, Sepanyol mencatat keputusan seri dalam aksi peringkat kumpulan H di Stadium Atlanta, Amerika Syarikat.
Penjaga gawang veteran itu menjadi benteng kebal yang sukar ditembusi apabila berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya pemain-pemain Sepanyol.

Aksi cemerlang Vozinha bukan sahaja membantu Cape Verde meraih satu mata berharga malah terpilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Apa yang lebih mengagumkan, Piala Dunia FIFA 2026 merupakan penampilan sulung Vozinha di pentas terbesar bola sepak dunia.
Pada usia 40 tahun, dia menjadi antara pemain tertua yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mengejar impian.
Bahkan, mungkin ada tertanya-tanya bagaimana penjaga gawang tersebut mendapat nama jolokan Vozinha yang membawa maksud nenek kecil dalam bahasa Portugis.
Nama itu diberikan sejak kecil kerana sangat rapat dengan nenek yang banyak membesarkannya.
Walaupun kedengaran unik bagi peminat bola sepak antarabangsa, nama panggilan itu kini dikenali di seluruh dunia hasil aksi heroik di Piala Dunia.

Menurut SofaScore, Vozinha melakukan tujuh aksi menyelamat (saves) dalam perlawanan tersebut, dengan enam daripadanya hadir ketika percubaan lawan di dalam kotak penalti.
Selain itu, berdasarkan model expected goals (xG), beliau berjaya menghalang 1.46 gol yang dijangka boleh dijaringkan oleh Sepanyol.
Dalam pada itu, sebelum sepak mula perlawanan, Vozinha hanya mempunyai sekitar 50,000 pengikut di Instagram tetapi angka itu melonjak mendadak kepada lebih 1.2 juta pengikut sejurus wisel penamat dibunyikan.
Lonjakan luar biasa tersebut membuktikan bagaimana aksi cemerlang pemain kelahiran Mindelo, Carbo Verde itu menentang Sepanyol bukan sahaja memukau peminat bola sepak malah menjadikan dia fenomena global dalam tempoh hanya beberapa jam.
Kisahnya menjadi inspirasi kepada jutaan peminat bola sepak kerana tidak pernah berputus asa walaupun terpaksa menunggu begitu lama untuk merasai pengalaman beraksi di kejohanan paling berprestij itu.






