
BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan program MyLesen B2 selesai selewat-lewatnya Julai ini dengan lebih 30,000 peserta di seluruh negara dijangka meraih manfaat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program itu adalah inisiatif strategik kerajaan untuk memperluas akses kepada pelesenan memandu yang sah, selamat dan berstruktur, khususnya kepada golongan belia yang berdepan kekangan kewangan.
“Bagi tahun ini, MyLesen B2 menerima peruntukan RM10.5 juta dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 peserta di seluruh negara.
“Kami berharap ia dapat memenuhi sasaran agar golongan belia ini dapat mematuhi undang-undang sedia ada ketika memandu atau menunggang motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Belia, Program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yong Peng di sini hari ini.
Anthony berkata, Program MyB2S yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melibatkan 60,000 pelajar di seluruh negara dengan peruntukan RM18.5 juta manakala Johor mencatat penyertaan tertinggi, iaitu 8,000 pelajar.
Beliau berkata, program itu membolehkan pelajar memperoleh Lesen Belajar Memandu (LDL) sebelum menjalani latihan serta ujian memandu motosikal secara berperingkat bermula dengan fasa amali.







