
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan bagi menentukan punca insiden yang mengorbankan dua anggotanya ketika menjalani latihan balingan grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata, pihaknya komited memastikan setiap aspek keselamatan latihan diteliti dan diperkukuh dari semasa ke semasa, dengan sebarang penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan dapatan siasatan yang sedang dijalankan.
“Mereka mengalami kecederaan akibat letupan semasa Latihan Membaling Grenade dalam Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang dilaksanakan di Kem Hobart pada jam 10.57 pagi.
“Kedua-dua anggota dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua jenazah akan dihantar ke di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat.






