
SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi nasihat dan pesanan yang sering ditekankan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan dan tidak terlibat dalam pertikaian terbuka yang boleh menjejaskan imej serta mendedahkan kelemahan kepada pandangan umum.
Baginda bertitah, sebarang teguran atau pandangan perlu disampaikan dengan penuh hikmah dan beradab manakala isu-isu yang timbul wajar ditangani menerusi saluran yang tepat bagi mencapai penyelesaian secara harmoni.
“Perkara yang masih boleh diselesaikan melalui perbincangan dan muafakat tidak seharusnya diperbesarkan di ruang awam sehingga mencetuskan konflik yang akhirnya merugikan umat dan bangsa sendiri.
“Janganlah perkara yang boleh diselesaikan secara baik dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang akhirnya hanya mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum,” titah baginda.
Titah tersebut dizahirkan sempena sambutan Ma’al Hijrah 1448H menerusi perutusan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Sultan Selangor turut mengingatkan perpecahan dan pertelingkahan terbuka boleh memberi gambaran negatif serta membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan yang dipamerkan.
Baginda bertitah, keadaan sedemikian tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak, malah berisiko menjejaskan usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, baginda mengajak umat Islam mengambil semangat hijrah sebagai pemangkin perubahan ke arah yang lebih baik dengan memperkukuhkan perpaduan, meningkatkan sikap toleransi serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara berbanding kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Baginda berharap tahun baharu 1448 Hijrah menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan dalam mempererat keharmonian dan kesejahteraan rakyat demi masa depan yang lebih kukuh dan bersatu.
“Beta masih mengingati pesanan Almarhum Ayahanda Beta yang sering menasihatkan supaya kita tidak wash dirty linen in public.
“Jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, maka suarakanlah dengan penuh hikmah dan adab.
“Jika mahu memberi nasihat atau teguran, lakukanlah dengan cara yang baik dan berhemah,” titah baginda.






