
KUALA LUMPUR: Pemilik nama Hong Myung-bo merupakan bekas pertahanan kental yang disegani lawan di peringkat domestik dan antarabangsa sehingga terpahat dalam sejarah bola sepak Korea Selatan.
Lelaki berusia 57 tahun itu kini memikul harapan jutaan penyokong Korea Selatan untuk mengulangi kegemilangan yang pernah dicipta lebih dua dekad lalu apabila menjadi ketua jurulatih skuad negara terbabit.
Sebagai pemain, beliau mencipta sejarah apabila menjadi pemain Asia pertama beraksi dalam empat edisi Piala Dunia berturut-turut iaitu pada 1990, 1994, 1998 dan 2002.
Ketokohan serta kepimpinannya di atas padang menjadikan beliau tonggak utama skuad kebangsaan selama lebih sedekad.
Bagaimanapun, pencapaian paling manis dalam kariernya hadir pada Piala Dunia 2002 apabila mengetuai Korea Selatan mara sehingga ke separuh akhir kejohanan yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.
Kejayaan tersebut masih kekal menjadi rekod oleh sebuah pasukan dari Asia dalam sejarah Piala Dunia.
Lebih membanggakan, aksi cemerlang sepanjang kejohanan tersebut menyaksikan Myung-bo menerima Anugerah Bola Gangsa FIFA yang mengiktiraf beliau sebagai pemain ketiga terbaik pada kejohanan itu.
Selepas menggantung but, Myung-bo tidak meninggalkan dunia bola sepak secara total malah meneruskan karier sebagai jurulatih.
Bahkan, menjadi jurulatih yang membawa skuad bawah 23 tahun Korea Selatan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.
Kejayaan itu menjadi detik bersejarah kerana ia merupakan pingat pertama Korea Selatan dalam acara bola sepak Olimpik.
Di peringkat kelab pula, sentuhan Myung-bo terus meninggalkan kesan apabila membantu Ulsan HD FC muncul juara K League 1 selama dua musim berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Kejayaan tersebut mengukuhkan reputasinya sebagai antara jurulatih terbaik yang dimiliki Korea Selatan ketika ini.
Beliau kembali mengemudi pasukan kebangsaan buat kali kedua selepas pernah membimbing Korea Selatan pada Piala Dunia 2014.
Berbekalkan pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih, beliau dilihat sebagai individu paling sesuai untuk memimpin generasi baharu pemain Korea Selatan menghadapi cabaran Piala Dunia 2026.
Perlawanan pembukaan Korea Selatan pada Piala Dunia FIFA 2026 menentang Czechia di Stadium Akron, Mexico yang berkesudahan 2-1 membuktikan kewibawaan Myung-bo.






