
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menggesa kementerian dan agensi kerajaan mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas bagi mengekang perniagaan haram oleh warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.
Beliau menegaskan isu tersebut memerlukan tindakan bersama pelbagai agensi kerana semakin banyak kes membabitkan warga asing yang dipercayai berniaga menggunakan visa pelawat atau pelajar, selain memanfaatkan permit dan lesen milik rakyat tempatan untuk menjalankan operasi mereka.
“Jadi langkah-langkah yang kita usulkan saya minta dilaksanakan segera. Semua kementerian dan agensi berkenaan; LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Kastam, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), Bank Negara Malaysia.
“MCMC kena bantu. Bank Negara Malaysia dan MCMC harus kaji platform ‘e-commerce’ dan ‘money trail’ termasuk AMLA,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan perlu memperketat pemantauan terhadap lesen perniagaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku.
Beliau juga mahu LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memastikan setiap aktiviti perniagaan mematuhi kewajipan percukaian yang ditetapkan.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia memperhebat penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan visa oleh warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan atau pekerjaan tanpa kebenaran sah.
Selain itu, katanya, kerajaan berhasrat memperkukuh kerjasama dengan persatuan peniaga, dewan perniagaan serta persatuan penjaja bagi membantu mengesan dan membanteras kegiatan yang melanggar peruntukan undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu terdapat aduan yang segelintir persatuan bukan sahaja gagal membantu penguat kuasa, malah bertindak sebagai orang tengah kepada warga asing untuk mendapatkan tapak atau lesen perniagaan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan mekanisme tertentu bagi memperkasakan peranan masyarakat dalam membantu penguatkuasaan.
“Jadi sekarang kita terpaksa beri isyarat yang jelas tidak boleh dan badan penguat kuasa harus ambil tindakan.
“Kemudian perkhidmatan yang disediakan oleh warga asing yang dipercayai menyalahgunakan visa pelawat atau pelajar, mahasiswa. Visa pelawat tetapi digunakan untuk berniaga, merampas peluang dan kesempatan pekerja tempatan,” katanya.







