
SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan meletakkan sasaran Pakatan Harapan (PH) meraih sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata sasaran tersebut dibuat berdasarkan pencapaian PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila gabungan itu berjaya menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, PH berharap dapat mengulangi kejayaan berkenaan dan terus memperoleh sokongan rakyat bagi membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya akan datang.
“Kita sasarkan PH memenangi 20 kerusi DUN seperti mana rekod yang kita pernah memenangi pada tahun 2018. Jadi, kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri ini.
“Dalam hal ini, kita akan memainkan peranan untuk menyokong rakan-rakan dalam PH bagi memenangi kerusi-kerusi lain, sekali gus memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut mengesahkan bahawa beliau akan terus mempertahankan kerusi DUN Chennah selain keputusan terbabit mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti dan jawatankuasa negeri.
Beliau berkata, parti juga akan mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN-15 pada 2023 dengan senarai calon akan diumumkan dalam masa terdekat.
“DAP akan memainkan peranan secara bersungguh-sungguh untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi. Bagi mencapai hasrat itu, saya telah membuat keputusan, dengan sokongan CEC serta jawatankuasa negeri, untuk terus mengetuai kempen pilihan raya dan bertanding pada PRN kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai mesyuarat khas yang diadakan, Anthony berkata pihaknya menjangkakan PRN Johor dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak, dengan proses pengundian berkemungkinan diadakan pada Julai depan.
“Walaupun PRN kali ini dianggap mengejut, PH telah bersedia untuk menghadapinya demi mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Sedia maklum, keputusan untuk membubarkan DUN dibuat susulan konflik yang berlaku apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini membentuk Kerajaan Perpaduan menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
“Walaupun terdapat persefahaman di peringkat Pusat antara BN dan PH bahawa ADUN BN akan tetap menyokong kerajaan serta memastikan kelulusan bajet tahun depan tapi PH merasakan ini satu risiko yang perlu ditanggung terlalu besar untuk diambil.







