
MUAR: Pemandu lelaki berusia 19 tahun yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan lima nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam minggu lalu disambung reman selama dua hari lagi sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes.
Perintah reman terhadap suspek yang juga pelajar sebuah universiti di Singapura itu dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret di sini selepas tempoh reman terdahulu selama empat hari berakhir hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, lanjutan reman dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut diteruskan susulan penularan video yang memaparkan suspek dipercayai memandu secara laju dan melulu sebelum kejadian.
“Permohonan reman dibuat bagi melengkapkan siasatan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga masih diteruskan berdasarkan rakaman video yang tular,” katanya.
Terdahulu, suspek direman buat kali pertama selama dua hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Selasa lalu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum tempoh tahanan itu disambung sehari lagi oleh Mahkamah Majistret Kluang.
Namun, sebaik sahaja tempoh reman berakhir, suspek ditahan semula pada Khamis lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam kemalangan yang menggemparkan itu, lima individu terkorban termasuk empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73, Nor Azlina Latil, 33, Aiman Mohd. Rashid, 36, dan Nur Airish Syifa Sidek.
Turut maut ialah abang kepada suspek yang berusia 22 tahun yang memandu sebuah BMW 530e.





