
SUNGAI PETANI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terlibat dalam kemalangan tragis mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal dekat sini semalam sebenarnya dipandu Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, berlaku kekhilafan dalam laporan awal berikutan keadaan kenderaan yang remuk teruk sehingga menyukarkan proses pengecaman mangsa.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kenderaan tersebut bukan dipandu anggota polis, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Maklumat terkini mengesahkan Proton X50 itu dipandu Ahmad Fahim yang juga pemilik kenderaan berkenaan. Difahamkan, dia baru sahaja membeli kenderaan itu pada hari kejadian,” katanya.
Semalam, media melaporkan enam sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas SUV yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal.
Dalam kejadian itu, enam mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Lima daripada mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi, Merbok pada pukul 10 pagi tadi, manakala seorang lagi mangsa, Iskandar Affan Ibrahim, 7, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Sementara itu, satu-satunya mangsa yang terselamat, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital.





