
TAPAH: Selepas 14 hari tersesat di hutan belantara, Jaslinda Saludin kini menunjukkan perkembangan positif apabila kembali berselera makan dan dapat tidur lena seperti biasa.
Kakaknya, Jasima, 52, berkata keadaan Jaslinda semakin baik dan adiknya itu kini lebih ceria serta bertenaga berbanding sebelum ini.
Menurutnya, Jaslinda yang hampir dua minggu tidak mendapat makanan mencukupi kini begitu seronok untuk menikmati hidangan yang disediakan, namun pengambilan makanannya masih perlu dikawal mengikut nasihat doktor.
“Alhamdulillah, Jaslinda semakin sihat. Dia nampak lebih bertenaga dan ceria. Dia mahu makan semua benda, memang boleh difahami selepas tidak makan selama 14 hari.
“Namun, keadaan kesihatannya masih perlu dipantau, jadi dia hanya dibenarkan makan dalam kuantiti yang sedikit pada satu-satu masa,” katanya seperti yang dilapor Berita Harian.
Jasima berkata, walaupun adiknya masih mengalami keletihan fizikal, semangatnya semakin pulih dan dia gembira dapat berbual dengan ahli keluarga yang datang menziarahinya di hospital.
Katanya, Jaslinda turut mengalami beberapa kecederaan ringan sepanjang kejadian itu termasuk pada buku lali kiri selain luka pada badan, tangan dan kepala, namun keadaannya kini semakin bertambah baik.
Jasima berkata, keluarga tidak bercadang memindahkan Jaslinda ke mana-mana fasiliti perubatan lain di Selangor kerana adiknya selesa menerima rawatan di Hospital Tapah.
“Dia selesa di sini dan kami juga berpuas hati dengan rawatan yang diberikan.
“Kami masih belum mengetahui bila dia akan dibenarkan keluar hospital kerana semuanya bergantung kepada keadaan kesihatannya serta nasihat doktor,” katanya.
Jaslinda ditemukan selamat pada Jumaat lalu di sebuah penempatan Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh selepas hilang selama dua minggu ketika berada di kawasan Gunung Batu Putih.





