
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap ahli perniagaan Albert Tei di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Firma guaman Zain Megat & Murad yang mewakili Azam berkata, tindakan undang-undang itu berkaitan kenyataan mengenai Azam yang didakwa diterbitkan dan dikongsi semula menerusi podcast, YouTube Shorts dan platform dalam talian lain.
Menurutnya, Azam turut menuntut ganti rugi dan perintah injunksi kekal terhadap defendan.
“Anak guam kami menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar, dan telah memulakan prosiding ini bagi mempertahankan reputasi serta nama baiknya yang dibina sepanjang hampir empat dekad berkhidmat dalam sektor awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Azam dan peguam beliau tidak akan mengulas lanjut mengenai merit kes berkenaan memandangkan perkara itu kini sedang dibicarakan di mahkamah.
Firma itu juga menggesa semua pihak agar menghormati proses mahkamah yang sedang berlangsung.
Tei baru-baru ini membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan.
Antara lain, Tei mendakwa beliau telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa apabila cuba mendedahkan satu skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.
Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Tei pada 13 Mei lalu yang mendakwa berlaku ugutan jenayah membabitkan peguam Azam.
Pada 3 Jun, Azam telah memberikan keterangan kepada penyiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.





