
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Pas Pusat menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diputuskan malam tadi.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kerjasama dengan Bersatu sebelum ini dibina atas konsep ta’awun siyasi, iaitu kerjasama politik yang berasaskan prinsip saling membantu dalam perkara yang membawa kebaikan.
Beliau berkata, prinsip tersebut menjadi asas penting dalam mendukung agenda teras perjuangan PAS yang secara konsisten memperjuangkan gagasan penyatuan ummah sejak sekian lama.
“Pendirian itu susulan daripada kenyataan Tan Sri Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) yang sebelumnya menyatakan hasrat mengkaji semula hubungan politik dengan parti berkenaan.
“Agenda untuk memperjuangkan gagasan penyatuan ummah ini adalah teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik PH-DAP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, agenda itu wajar digerakkan secara konsisten ketika jentera Pas sedang bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik.
“DUPP ingin menyeru seluruh anggota ‘abnaul harakah’ (ahli parti) agar menerima keputusan Pas Pusat dengan jiwa besar.
“Insya-Allah apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam. Pas tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah,” katanya.







