
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh sinergi teknologi dan air selari Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengurusan air negara kini semakin diperkukuh melalui pemanfaatan teknologi moden seperti machine learning, kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan pintar.
Beliau menambah, melalui integrasi teknologi digital dan analisis data masa nyata, maklumat daripada pelbagai sensor seperti paras air, kadar alir, prestasi pam serta keadaan peralatan dapat dianalisis secara menyeluruh.
“Keupayaan ini membolehkan ramalan dibuat dengan lebih tepat sekali gus menyokong keputusan operasi yang lebih pantas dan berkesan.
“Perkembangan ini selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang menekankan pemodenan infrastruktur, penggunaan teknologi pintar dan pengukuhan inovasi dalam sektor air negara.
“Dalam konteks ini, jurutera serta pegawai teknikal memainkan peranan penting bukan sahaja dalam aspek operasi tetapi sebagai barisan hadapan yang memastikan sistem sentiasa berada dalam keadaan cekap, stabil dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mechanical And Electrical On Water Symposium (MEWS) 2026 anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), agensi di bawah PETRA di sini hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mohd Norhisham Musa dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib.
Abdul Rahman menambah, secara lebih luas, kepakaran dalam bidang mekanikal dan elektrikal turut menyumbang kepada peningkatan daya tahan sistem air negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Beliau menjelaskan, antara lain ia termasuk perubahan iklim, risiko bencana dan keperluan pembangunan yang semakin pesat.
“Kejayaan transformasi teknologi dalam sektor air bukan sahaja bergantung kepada sistem dan peralatan tetapi melibatkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran serta berintegriti.
“Jurutera, ahli akademik dan pengamal industri memainkan peranan penting dalam memastikan infrastruktur air sentiasa bersedia menghadapi cabaran,” ujarnya.

Katanya, teknologi hidromekanikal dan elektrikal seperti pam, pintu kawalan air serta instrumentasi hidrologi kini bukan sahaja berfungsi sebagai komponen fizikal malah menjadi pemacu utama dalam membentuk sistem pengurusan air yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan.
MEWS 2026 berteraskan tema Current to Creation: The Evolution of Hydromechanics menterjemahkan transformasi ke arah pendekatan yang lebih moden, pintar dan bersepadu.
Simposium selama satu hari tersebut merupakan satu platform strategik yang memberi penekanan kepada kepentingan teknologi, inovasi dan transformasi kejuruteraan hidromekanikal serta elektrikal sebagai komponen utama yang menyokong keberkesanan sistem pengurusan air negara.





