
KUALA LUMPUR: Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Disember ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata secara keseluruhan, pembinaan lima kapal LCS di Lumut Naval Shipyard kini mencapai kemajuan 76.88 peratus.
“Penyerahan kapal ini ialah sebahagian daripada usaha pemodenan aset dan rasionalisasi angkatan bagi memastikan kesiagaan TLDM sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Selain Maharaja Lela yang dijadualkan diserahkan pada Disember ini, kapal LCS 2 ‘Raja Muda Nala’ dan LCS 3 ‘Sharif Mashor’ masing-masing dijangka diterima pada April dan Disember 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan Panglima Tentera Laut bersempena dengan sambutan Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak di KD Pelandok, Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.
Dalam pada itu, Badarudin berkata, TLDM sedang membina networked fleet atau rangkaian armada yang seimbang dan berkeupayaan melaksanakan penugasan merentasi pelbagai spektrum, daripada operasi keselamatan maritim sehingga tahap peperangan.
Beliau berkata selain projek LCS, pembinaan tiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB 2) di Istanbul Shipyard, Turkiye turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila mencapai tahap 47.9 peratus setakat ini.







