
SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri baharu.
Ketua Pembangkang merangkap ADUN Labu daripada BERSATU, Mohamad Hanifah Abu Baker, memaklumkan pendirian itu dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini, sebentar tadi.
Menurut beliau, kesemua lima ADUN PN bersetuju untuk berganding bahu dengan 14 ADUN BN Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negeri demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Tambahnya, lima ADUN daripada gabungan itu telah mengikuti rapat perkembangan krisis kepimpinan kerajaan negeri sejak beberapa minggu lalu.
“Mewakili rakyat Negeri Sembilan, kami kesal kerana krisis ini terus berlarutan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
“Ini membuktikan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, gagal menangani krisis ini secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
“Sehubungan itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan dari PN bersedia bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri bagi membangunkan Negeri Sembilan serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.






