
SEREMBAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini mengumumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga ADUN PKR Sikamat.
Pengerusi UMNO/BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan tersebut dicapai secara sepakat oleh kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang sedang melanda.
Menurut beliau, notis rasmi berhubung keputusan itu akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, pada hari ini.
“Saya bersama 14 ADUN yang mewakili UMNO/BN Negeri Sembilan sangat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku yang dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.
“Justeru, kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan, dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya yang juga ADUN Pertang pada sidang media, hari ini.
Semua ADUN UMNO/BN hadir sidang media berkenaan kecuali ADUN Rantau yang juga Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang ketika ini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-25 (25th AEMM) di Brunei, yang bermula hari ini hingga 28 Mei.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memaklumkan Exco kerajaan negeri daripada UMNO/BN tidak pernah dilibatkan atau dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat pentadbiran negeri berhubung isu berkenaan.
Malah, menurutnya, mereka hanya menyedari kewujudan krisis adat itu apabila ia sudah memuncak hingga menjadi polemik terbuka.
Beliau menegaskan, Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan sewajarnya dengan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani kemelut tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kanan kerajaan negeri berkata, UMNO/BN Negeri Sembilan kekal komited mempertahankan institusi adat, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Tambahnya, kestabilan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh ekonomi negeri.





