
PETALING JAYA: Sebuah stesen minyak di sini disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan dakwaan menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
KPDN dalam kenyataan memaklumkan, siasatan dijalankan selepas menerima aduan melalui portal e-aduan, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pemilik kenderaan asing terbabit membuat pembayaran menggunakan kad kredit.
“Pengisian RON95 telah dibuat ke dalam tangki asal kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing,” katanya.
Katanya, tindakan diambil terhadap premis berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Subperaturan 3(2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026.
Peruntukan itu berkaitan pelanggaran Subperaturan 3(1) yang melarang penjualan RON95 kepada individu menggunakan kenderaan asing tanpa kebenaran bertulis pengawal.
Dalam pada itu, pihak KPDN turut menyita beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.







