
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.
Tindakan itu sekali gus menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun tersebut tidak lagi meneruskan usaha bagi mendapatkan kebenaran menjalani baki hukuman penjara enam tahun di kediamannya.
Perkara itu dimaklumkan menerusi notis yang difailkan firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, yang menyatakan hasrat beliau selaku perayu untuk menarik balik rayuan berkenaan.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan prosiding pendengaran rayuan selama dua hari bermula 1 Julai 2025, manakala dalam masa sama Peguam Negara turut memperoleh kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut.
Titah Adendum yang menjadi pertikaian dipercayai diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah susulan sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Dalam prosiding berkaitan, panel hakim turut membenarkan rayuan Peguam Negara terhadap keputusan berhubung notis usul bagi mengemukakan keterangan baharu, termasuk afidavit anak beliau, Datuk Mohd Nizar. Namun, dokumen berkaitan tidak boleh digunakan tanpa perkenan Sultan Pahang.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang baharu serta berkepentingan awam.
Terdahulu, pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan pengesahan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam permohonan itu, beberapa pihak termasuk Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden, selain memohon pelaksanaan titah berkenaan sekiranya ia wujud.
Najib Tun Razak kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng dana SRC International.
Beliau sebelum ini memfailkan petisyen pengampunan diraja pada September 2022, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.






