
PUTRAJAYA: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu rungutan terhadap laungan azan serta kesesakan jalan raya ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Ampang, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Menurut beliau, masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa menjaga keharmonian serta saling menghormati khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.
“Sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan melalui tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Jabatan Hal Ehwal Agama, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kempen ‘No Hajj Without a Permit’ atau tidak menunaikan haji tanpa permit dilaksanakan bagi musim haji tahun ini sebagai menyahut seruan Arab Saudi.
Katanya, Malaysia turut menyertai Muzakarah Haji serta mengemukakan pandangan berhubung pelaksanaan kempen tersebut.
Jelasnya, kempen itu bertujuan menjaga kemaslahatan jemaah selain memastikan keselamatan umat Islam, termasuk mengelakkan penipuan dan kegiatan sindiket yang merugikan.
“Langkah ini penting bagi memastikan urusan haji lebih tersusun, teratur dan benar-benar memenuhi keperluan jemaah,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi melancarkan kempen berkenaan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah sepanjang musim haji.
Agensi Berita Arab Saudi melaporkan Presiden Hal Ehwal Agama Masjidilharam dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais, menggesa semua pihak menyokong kempen itu serta bekerjasama dengan agensi keselamatan yang terlibat.







