
MASJID TANAH: Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Datuk Ir Shahrizaila Abdullah telah dianugerahkan sebagai Tokoh Air Negara 2026 pada Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka, anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kelmarin.
Beliau telah diwakili oleh anaknya, Profesor Dr Nortina Shahrizaila semasa menerima anugerah tersebut yang telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof di HAS 2026.
Felo Asas ASM yang dilantik pada tahun 1995 dan diiktiraf sebagai Felo Kanan pada tahun 2008 terpilih sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berimpak tinggi beliau dalam memajukan sektor air negara.
Pengiktirafan tersebut menterjemahkan dedikasi beliau dalam memperkukuh pengurusan sumber air secara mampan, bersepadu dan berpandangan jauh.
Berbekalkan pengalaman perkhidmatan cemerlang selama beberapa dekad, beliau diiktiraf sebagai antara perintis terkemuka Malaysia dalam membentuk ekosistem air negara yang lebih holistik, berdaya tahan dan berasaskan dasar, institusi serta kepakaran teknikal kukuh.
Bahkan, beliau bukan sahaja dikenali dalam kalangan profesional tempatan malah dihormati di peringkat antarabangsa atas kepakaran dan kepimpinan dalam bidang sumber air.

Pemilik ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaya itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PETRA atas pengiktirafan tersebut.
Kata figura yang memiliki kelayakan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat, ia bukan sahaja satu penghormatan peribadi tetapi peringatan bahawa air perlu terus diangkat sebagai agenda strategik negara.
“Saya turut menghargai sokongan pelbagai institusi dan pihak berkepentingan terutamanya ASM dalam memperkukuh wacana berasaskan ilmu dan kepakaran bagi agenda air negara antaranya menerusi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).
“Pengurusan air yang bersepadu, berasaskan sains dan berpandangan jauh amat penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim, pembangunan pesat serta peningkatan permintaan terhadap sumber air,” katanya.
Memulakan kerjaya sebagai jurutera, beliau kemudiannya mendaki tangga kepimpinan dalam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga dilantik sebagai Ketua Pengarah dari tahun 1988 hingga 1995.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai projek tebatan banjir berskala besar dilaksanakan di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Perak dan George Town, Pulau Pinang.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja mengurangkan risiko bencana, malah melindungi aset serta kesejahteraan rakyat.
Antara sumbangan terbesar beliau adalah memperkenalkan konsep Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) dan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) di Malaysia melalui pendekatan moden yang kini menjadi asas kepada perancangan sektor air negara.
Usaha tersebut membawa kepada pembangunan pelan strategik seperti National Integrated Water Resources Management Plan (NIWRMP) serta AIR 2040 yang memacu hala tuju sektor air negara secara menyeluruh.
Di peringkat global, beliau pernah berkhidmat sebagai Presiden International Commission on Irrigation and Drainage dan terlibat dalam pelbagai organisasi antarabangsa berkaitan pengurusan air.
Penglibatan ini membuktikan bahawa kepakaran tempatan mampu memberi impak besar di peringkat antarabangsa.
Penganugerahan Tokoh Air Negara 2026 ini bukan sekadar pengiktirafan individu tetapi turut menonjolkan kepentingan sektor air sebagai nadi pembangunan negara.
Dengan kepimpinan dan visi tokoh seperti Tan Sri Shahrizaila, Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk memastikan sumber air terus terpelihara demi generasi masa depan.
Selain daripada penganugerahan Tokoh Air Negara, pelbagai anugerah juga turut disampaikan sempena HAS 2026 kepada pihak dan agensi yang mengiktiraf sumbangan cemerlang dalam sektor air negara, antaranya Anugerah Pembangunan Sumber Air, Anugerah Inovasi Air dan Sanitasi, Anugerah Rakan Perkhidmatan Air, Anugerah Komuniti Prihatin Air (Kategori Awam dan Swasta) dan Anugerah Kumpulan Pengguna Air Melaka.
Senarai penuh penerima anugerah Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
ANUGERAH PEMBANGUNAN SUMBER AIR
KATEGORI SARJANA MUDA
ANUGERAH EMAS: Nurul Amirah Najwa Azlan (Universiti Putra Malaysia (UPM)
ANUGERAH PERAK: Pavinth Karnan (Universiti Putra Malaysia (UPM)
ANUGERAH GANGSA: Naviin S. Subramaniam (Universiti Sains Malaysia (USM)
KATEGORI DOKTOR FALSAFAH
ANUGERAH EMAS: Azinoor Azida Abu Bakar (Universiti Teknologi Mara (UITM)
ANUGERAH PERAK: Junaidah Abdullah (Universiti Sains Malaysia (USM)
ANUGERAH GANGSA: Noor Zarina Mohd Nazir (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
ANUGERAH INOVASI AIR DAN SANITASI: Tanjung Advance Sdn. Bhd
ANUGERAH RAKAN PERKHIDMATAN AIR: Komander Rejimen Jurutera, Rejimen Askar Jurutera Diraja Pakar, Kolonel Mohd Nizam Daud.
ANUGERAH KOMUNITI PRIHATIN AIR (KATEGORI AWAM DAN SWASTA)
KATEGORI KOMUNITI AWAM:
Abdullah Mahat mewakili Daerah Alor Gajah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Hitam Darat).
Datuk Haryaty Hamdzah mewakili Daerah Melaka Tengah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Duyong (Taman Seri Duyong).
Azmi Mohamed mewakili Daerah Jasin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Chohong.
KATEGORI KOMUNITI SWASTA: Pengurus Syarikat Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd
ANUGERAH KUMPULAN PENGGUNA AIR MELAKA: Kumpulan Pengguna Air Sawah Beringin dan Belimbing Durian Tunggal Daerah Alor Gajah, Melaka, Mohd Pauzi Tawil






