
MASJID TANAH: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 21 projek berkaitan air dengan nilai berjumlah RM3.1 bilion dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Ketiga Belas di negeri Melaka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata sejumlah RM274 juta telah diperuntukkan di bawah Rolling Plan Pertama (RP 1) tahun ini.
Beliau yang merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menambah, kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek yang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan dapat mengatasi pelbagai isu dan cabaran serta memberi impak sosio-ekonomi yang positif kepada penduduk Melaka.

“Agensi-agensi terlibat adalah seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kemampananan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk menjamin impak yang maksimum kepada rakyat Melaka.
“Pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang seperti mana yang dihasratkan oleh citra Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di Pantai Tanjung Bidara di sini semalam.
Hadir sama ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli dan Timbalan Setiausaha (Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba.

Fadillah memberitahu, Projek Menaiktaraf Sistem Saliran bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Bandaraya Melaka Bersejarah Fasa 2 (Pakej 2A) telah diserahkan PETRA kepada Kerajaan negeri Melaka hari ini.
Katanya, projek berkenaan telah siap sepenuhnya pada 19 Mac 2026 dengan nilai kontrak berjumlah RM10.351 juta melibatkan tiga lokasi dalam kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah iaitu Kampung Enam dan Kampung Tujuh, Jalan Tamby Abdullah sehingga ke Jalan Parameswara dan Taman Merak Mas ke Kampung Tebing Tinggi, Bukit Katil.

“Pemilihan Tanjung Bidara bukan dibuat secara kebetulan tetapi hamparan laut yang luas melambangkan keterbukaan, keseimbangan dan kesaksamaan iaitu tiga teras utama dalam usaha memastikan khazanah air negara diurus secara adil serta lestari.
“Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, sektor air negara perlu terus bergerak ke hadapan dengan mengadaptasi teknologi pintar, inovasi digital dan amalan terbaik global.
“Negara menggalakkan pembangunan bakat muda, termasuk wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) untuk menerajui inovasi berkaitan perubahan iklim, keterjaminan air dan pengurusan sumber yang lestari,” katanya.

Fadillah menambah jika dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih inovatif, kita sedang membina sebuah negara berdaya tahan dalam menangani cabaran seperti gangguan bekalan air, banjir dan kemerosotan sumber
Dalam pada itu, beliau berkata, PETRA telah membangunkan Dasar Air Negara sebagai satu langkah transformasi yang lebih holistik merangkumi keseluruhan kitaran air daripada sumber hingga ke pengguna.
Beliau menjelaskan, Dasar Air Negara akan mengukuhkan tadbir urus dengan penyelarasan yang lebih berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk sektor swasta dan masyarakat.

“Pendekatan ini amat penting bagi memastikan setiap dasar yang digubal bukan sahaja komprehensif di peringkat perancangan, tetapi juga dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat lapangan.
“Justeru, peralihan ini merupakan satu langkah strategik yang mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh sektor air negara agar lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Sambutan HAS Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di sini bermula pada 24 hingga 25 April 2026 bertemakan “Air Milik Semua” membawa mesej bahawa air perlu diurus secara inklusif dan holistik.
HAS peringkat kebangsaan tahun ini menawarkan pelbagai reruai dan aktiviti-aktiviti menarik telah dihadiri oleh lebih 5,000 orang pengunjung.






