
NILAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses meneliti rekod transaksi kewangan daripada institusi perbankan bagi melengkapkan siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta yang melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menjangkakan maklumat daripada bank terbabit dapat diperoleh dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, pihaknya yakin melalui penyata berkenaan akan dapat membantu agensi penguatkuasaan berkenaan dalam melengkapkan siasatan terbabit.
“Perlu diingatkan kes ini bukan setakat 2025 atau 2026 sahaja, tapi kita hendakkan sebelum dari itu iaitu 2024 dan ke bawah. Sehingga semalam, kami hendakkan laporan (penyata bank) 2018.
“Jadi, saya jangka ambil masa sedikit tapi saya percaya pihak bank akan bagi dokumen-dokumen yang diperlukan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara SPRM dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan SPRM telah menyita aset tidak alih bernilai lebih RM18.3 juta bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana RM230 juta melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sitaan itu difahamkan melibatkan 14 hartanah, merangkumi tujuh unit kediaman, tiga ruang pejabat serta empat lot tanah di beberapa lokasi.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan setakat ini mendapati dana berkenaan dipercayai telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi termasuk pembelian aset.






