
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menetapkan kemasukan murid tahun satu seawal usia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027 melibatkan sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selaras dasar Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai persediaan dirangka termasuk penambahan bilangan guru serta penaiktarafan kemudahan sekolah bagi menampung pertambahan murid.
Menurut beliau, langkah itu melibatkan pengoptimuman penggunaan bilik darjah dengan kapasiti sehingga 45 murid bagi setiap kelas selain penyelarasan data murid dan pengesanan kawasan berpenduduk padat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
“Selain itu, kita turut mengenal pasti keperluan penambahan guru bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) berhubung persediaan guru dan kemudahan sekolah JAIS bagi menerima murid enam tahun mengikut garis panduan KPM.
Amirudin berkata kerajaan negeri turut mempertimbang pelaksanaan tiga sesi persekolahan berbanding dua sesi ketika ini mengikut kesesuaian, selain pembinaan infrastruktur tambahan termasuk bilik darjah baharu.
“Kita menjangkakan hampir 80,000 permohonan bagi sesi tahun satu 2027 dengan anggaran kekurangan kira-kira 880 guru.
“Sehubungan itu, antara strategi utama ialah menambah bilangan guru mengikut kemampuan dan keperluan negeri,” katanya.
Ujar beliau, keseluruhan bangunan sekolah di bawah JAIS berada dalam keadaan selamat dan sesuai digunakan, namun kerajaan negeri bersedia menyalurkan bantuan baik pulih sekiranya diperlukan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh memasuki tahun satu secara pilihan, bergantung kepada keputusan ibu bapa.





