
MEKAH: Perasaan gembira dan sebak menyelubungi kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di Kota Suci Mekah selepas enam hari berada di Madinah.
Seramai 260 jemaah daripada kumpulan KT01 tiba pada pukul 4.30 petang Khamis waktu tempatan sebelum ditempatkan di Hotel Abraj Al Tayseer yang turut berfungsi sebagai ibu pejabat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah.
Ketibaan mereka disambut Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun serta petugas TH.
Jemaah dijadualkan menunaikan umrah wajib secara berperingkat bermula pukul 9 malam Khamis di Masjidil Haram sebagai permulaan ibadah mereka di Tanah Suci.
Secara keseluruhan, seramai 841 jemaah daripada tiga kumpulan terawal berada di Makkah pada Khamis, dengan kumpulan KT02 yang melibatkan 260 jemaah dijangka tiba pada pukul 5.30 petang hari sama.
Kesemua jemaah ditempatkan di tiga penginapan utama iaitu Al Tayseer, Al Kiswah dan Al Qasr.
Perjalanan ke Mekah ini menjadi detik penting buat para jemaah bagi memulakan ibadah umrah sebelum menempuh kemuncak ibadah haji, yang sentiasa dinanti dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.
Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April lalu melibatkan seramai 31,600 jemaah Malaysia yang berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Mekah menerusi 100 penerbangan sewa khas dikendalikan AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.







