
BACHOK: Sebanyak 10 sekolah di daerah ini terjejas akibat jerebu susulan kebakaran tanah gambut yang masih aktif di Kampung Kuau serta kawasan sekitarnya.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis, SMK Kubang Telaga, SK Kubang Telaga, SK Beris Lalang, SK Bakong, SK Telaga Ara, SMK Agama Tok Bachok (SMKATB), Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman dan SK Seneng.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bachok, Mohd Zaki Yusoff berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menempatkan stesen pemantauan kualiti udara bergerak di SK Beris Lalang bagi memantau zon impak dalam radius lima kilometer.
Menurutnya, data cerapan teknikal antara pukul 11.30 malam hingga 9.30 pagi menunjukkan kepekatan partikel halus (PM2.5 dan PM10) berada pada paras tinggi antara 170 hingga 200 mikrogram per meter padu, bersamaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 201 hingga 300 yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
“Bagaimanapun, kualiti udara dilaporkan kembali normal dan mematuhi piawaian bermula pukul 10 pagi setiap hari,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok telah mengarahkan pihak sekolah mengambil langkah segera selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Jerebu Kementerian Pendidikan serta Surat Pekeliling Ikhtisas yang berkuat kuasa.
Dalam perkembangan sama, operasi bersepadu memadam kebakaran tanah gambut di Kampung Kuau, Gunong yang dikenali sebagai Op Padam menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila 97 peratus kawasan berjaya dipadamkan.
“Setakat ini, 62 daripada keseluruhan 64 hektar kawasan terjejas telah berjaya dikawal. Walaupun api utama sudah dipadamkan, pemantauan rapi terhadap kualiti udara terus dipergiatkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad mengesahkan menerima laporan berhubung situasi tersebut, namun memaklumkan sesi pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah terlibat masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang penutupan.




