
PASIR GUDANG: Senarai calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senarai itu membabitkan individu yang layak untuk menerajui suruhanjaya itu.
“Ada 120 (nama calon yang diserahkan),” katanya ketika ditanya media tentang jumlah calon yang disenaraikan untuk pertimbangan Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, beliau menghadiri makan tengah hari dan menyantuni komuniti di Pasar Tani Kekal Permas Jaya sebelum bergerak menuju ke Masjid Bandar Permas Jaya di sini bagi menunaikan solat Jumaat.
Beliau berkata butiran mengenai senarai pendek calon tidak akan didedahkan buat masa ini dan hanya akan diumumkan kemudian.
“Itu (senarai pendek) akan diumumkan nanti,” katanya.
Menurut hantaran di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Perdana Menteri hari ini.
Semalam, Seri Paduka Baginda bertitah Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu akan dipilih bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.






