
CYBERJAYA: Sektor swasta diseru mempertimbangkan pelaksanaan aturan kerja fleksibel seperti diamalkan dalam perkhidmatan awam termasuk bekerja dari rumah (BDR).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu boleh mengurangkan penggunaan bahan api, meringankan kos sara hidup serta mengekalkan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.
“Dalam menghadapi risiko tekanan kos, majikan juga wajar lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi.
“Sektor swasta tidak boleh kekal selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang telah berubah. Sebaliknya, ini masa untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi dan mencambah nilai tambah serta kemampanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Lembaga Hasil Dalam Negeri ke-30 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga menyediakan kerangka Ekonomi MADANI dan dasar jelas untuk mengangkat martabat negara, justeru sektor swasta perlu memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang dibuka oleh ikhtiar reformasi itu.
“Segala aspirasi ini tidak akan menjadi nyata tanpa iltizam bersama untuk melaksanakannya dengan sepenuh jiwa,” katanya.






