
KUALA LUMPUR: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dijangka mampu melepasi sasaran pelaburan RM2 bilion pada tahun ini.
Ia berikutan minat berterusan daripada pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kawasan yang semakin berkembang sebagai hab kewangan serta ekonomi digital serantau.
Menurut agensi promosi pelaburan utama kerajaan Johor, Invest Johor, kebanyakan pelabur mengambil pendekatan jangka sederhana hingga panjang memandangkan skala serta kedudukan strategik SFZ Forest City dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris, berkata sebanyak 260 pertanyaan daripada pelabur yang berminat mengenai SFZ Forest City diterima Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dengan 48 pertanyaan direkodkan pada tahun ini sehingga April.

“Sambutan positif yang diterima membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi SFZ Forest City sebagai pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi Johor dan negara.
“Walaupun tidak semua pertanyaan diterjemahkan kepada pelaburan yang telah dimuktamadkan, beberapa syarikat kini berada di peringkat akhir rundingan selain sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi pelaburan yang dicadangkan.
“Nilai pelaburan yang sedang dibincangkan dianggarkan mencecah berbilion ringgit khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan, ekonomi digital, teknologi hijau dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini SFZ Forest City yang dipromosikan sebagai hab kewangan global bagi pelabur antarabangsa.

Natazha menambah, semakin banyak syarikat dalam bidang teknologi kewangan (fintech), pengurusan kekayaan, perkhidmatan perniagaan serantau dan teknologi bandar pintar menunjukkan minat untuk meneroka peluang di SFZ Forest City.
Katanya, sektor tenaga boleh diperbaharui, pengurusan karbon serta pembangunan bandar mampan turut menjadi tumpuan pelabur global yang kini memberi perhatian lebih besar kepada aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Lokasi strategik Forest City yang berdekatan Singapura, kos operasi yang kompetitif serta peluang memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem digital dan kewangan serantau menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelabur.
“Pelabur kini menilai Forest City dalam konteks ekonomi yang lebih luas dan strategik bukan lagi sekadar projek pembangunan hartanah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Natazha berkata, usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor memperkenalkan pelbagai insentif, mekanisme pemudah cara serta memperkukuhkan kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura terus meningkatkan keyakinan komuniti pelaburan terhadap potensi kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan, Invest Johor bersama IMFC-J akan terus memperkukuh keyakinan pelabur melalui pelaksanaan dasar yang lebih jelas serta pakej insentif tersusun dan mudah diakses menerusi inisiatif SFZ yang kini berada di bawah kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).






