
KUALA LUMPUR: Jumlah bilionair di negara ini dijangka meningkat sebanyak 39 peratus menjelang 2031, menurut laporan terbaharu Knight Frank menerusi penerbitan utamanya, The Wealth Report.
Laporan itu turut menyatakan jumlah individu dengan kekayaan bersih sangat tinggi (UHNWI) di Malaysia diunjurkan berkembang 20.1 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada 1,566 individu pada 2026 kepada 1,881 individu menjelang 2031.
Peningkatan tersebut menunjukkan pertumbuhan yang lebih ketara berbanding tempoh lima tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan kadar 6.5 peratus antara 2021 hingga 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, pertumbuhan itu didorong oleh kekuatan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan global dan turun naik harga tenaga.
Menurut beliau, prestasi ringgit yang berterusan serta pasaran modal yang aktif, termasuk peningkatan penyenaraian syarikat sejak 2020, turut menyumbang kepada perkembangan tersebut.
Katanya, golongan berpendapatan tinggi ini memainkan peranan penting sebagai pemacu utama dalam pasaran hartanah mewah dan pelaburan modal di Malaysia.
Berdasarkan Indeks Kediaman Antarabangsa Utama Knight Frank, nilai kediaman mewah di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan stabil sebanyak 1.1 peratus tahun lalu.
Prestasi itu mencerminkan kestabilan segmen kediaman mewah yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain itu, jumlah transaksi hartanah turut meningkat 5.4 peratus, daripada 399,008 pada 2023 kepada 420,545 pada 2024.
Dalam konteks serantau, prestasi Kuala Lumpur berbeza dengan beberapa pasaran utama di Asia Pasifik.
Nilai hartanah di Hong Kong dilaporkan menurun sebanyak 2.1 peratus pada 2025, manakala
Singapura terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan harga melebihi USD6,000 sekaki persegi.
Pengarah Eksekutif Pemasaran Projek Antarabangsa Knight Frank Property Hub, Adrian Yeoh berkata, prospek pasaran bagi tahun 2026 dijangka bercampur-campur.
Menurut beliau, pembaharuan dalam sektor perumahan seperti cadangan Akta Pembangunan Hartanah serta platform Transforming and Empowering Data Usage in Housing dijangka membantu menyokong sentimen pasaran.
Beliau menjelaskan ketidaktentuan global masih menjadi faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran secara keseluruhan.
Dalam keadaan tersebut, aset kediaman utama dilihat masih mampu mengekalkan nilai walaupun berdepan cabaran ekonomi.
Katanya, pelabur swasta dan institusi dijangka akan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mempelbagaikan pelaburan bagi mengurangkan risiko.






