
BALIK PULAU: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Februari lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Chia Huey Ting selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly memohon tarikh perbicaraan ditetapkan sementara menunggu laporan perubatan yang dijangka diperoleh minggu ini.
Mahkamah turut menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen termasuk laporan perubatan berkaitan kes berkenaan.
Terdahulu, peguam bela Dr Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan tarikh terdekat bagi perbicaraan memandangkan kes tersebut tidak melibatkan kesalahan berat.
Menurutnya, penangguhan selama dua bulan sebelum ini menyebabkan kelewatan yang tidak wajar selain memaklumkan pengadu telah membuat dua laporan polis, termasuk sebelum dan selepas kejadian serta terdapat usaha untuk menarik balik laporan berkenaan.
Sebelum prosiding bermula, Fahmi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang tiba di kompleks mahkamah bersama isterinya.
Pada 27 Februari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 35 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.







