
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya sehingga menyebabkan keguguran di Ambangan Height, di sini, Khamis lalu, direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Azlan Basri bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Tempoh reman itu berkuat kuasa sehingga 5 Mei ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selepas dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian tersebut.
Mangsa turut keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.
Wanita berkenaan dipukul menggunakan beberapa objek termasuk penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir serta batang penyapu sehingga patah.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah tangan dan jari kiri, lebam pada muka serta disyaki mengalami keretakan tulang rusuk, selain ditumbuk pada bahagian perut.
Sementara itu, polis mengesahkan suspek juga pernah dikaitkan dengan satu kes mencederakan wanita di Johor Bahru Selatan pada tahun 2021.
Dalam satu kenyataan terdahulu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru ketika itu memaklumkan pihaknya giat mengesan seorang saksi bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Saksi berkenaan berusia 38 tahun dan bekerja sebagai peniaga dengan alamat terakhir di Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar.




