
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Roslan Mat Nor selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan Abdul Kadir terhadap defendan dalam kes berkenaan.
Selain ganti rugi, mahkamah turut mengarahkan Aliff Syukri membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif.
Dalam penghakimannya, mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi yang melarang defendan atau mana-mana pihak berkaitan daripada menerbitkan atau menyebarkan sebarang kenyataan yang mempunyai kesan fitnah terhadap plaintif.
“Defendan sama ada pegawai atau ejennya dihalang menerbitkan, menyebabkan diterbitkan perkara diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan sama.
“Defendan sama ada melalui khidmat atau ejennya menghapuskan libel (fitnah bertulis) yang diterbitkan terhadap plaintif daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari daripada perintah ini.
“Defendan juga perlu memberi aku janji bertulis bahawa defendan tidak akan menyebabkan atau menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif,” kata Hakim Roslan.




