
SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan gesa Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan dengan segera bagi menangani krisis politik yang sedang berlaku di negeri terbabit.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penangguhan sidang DUN sehingga enam bulan seperti dimaklumkan dikhuatiri akan menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta mewujudkan keadaan tidak menentu.
Beliau menjelaskan, tempoh tanpa persidangan itu boleh membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu dalam pengurusan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Sidang Khas DUN perlu dipanggil segera bagi memutuskan isu-isu berkaitan krisis politik demi memastikan kestabilan dan kelancaran pentadbiran negeri.
“Jika mereka bertahan sehingga enam bulan (menangguhkan sidang DUN), kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul, sekali gus dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Malah, kesan daripada itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu. Oleh itu, sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya.
Tambah Jalaluddin, ketiadaan persidangan DUN dalam tempoh terdekat berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri serta mengganggu kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan.
Beliau menegaskan, Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman perlu segera mengambil langkah dengan memanggil Sidang Khas DUN bagi membincangkan serta memuktamadkan penyelesaian terhadap krisis politik yang sedang berlaku di negeri ini.
“Langkah itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan bagi mengembalikan keadaan kepada landasan biasa dan memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih stabil.
“Pada pandangan saya, sidang khas dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan kedua,” katanya.
Terdahulu, 14 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin atas alasan kegagalan menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.
Lima ADUN Perikatan Nasional (PN) turut mengemukakan tawaran bertulis kepada UMNO dan BN untuk bekerjasama demi memastikan kestabilan politik negeri kembali pulih.
Istiadat pembukaan persidangan Negeri Sembilan Ke-15 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Khamis lalu sepatutnya bersambung pada Isnin hingga hari ini, namun diputuskan ditangguh hingga suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Keputusan itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, selepas selesai istiadat perasmian pembukaan persidangan.







