
PUTRAJAYA: Berbaki dua minggu sebelum menamatkan perkhidmatan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki menegaskan komitmen berterusan memastikan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng dapat dipulihkan.
Beliau berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan perintah larangan transaksi melibatkan wang berjumlah AS$1.7 juta (kira-kira RM6.7 juta) di dua akaun perbankan di Barbados yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
Menurutnya, tindakan berkenaan mencerminkan usaha berterusan SPRM dalam menjejak serta mengembalikan dana yang diseleweng kepada negara.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.
“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Azam berkata, SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan semua saluran perundangan bagi mengesan, membekukan dan melucut hak aset yang disembunyikan di luar negara.
Semalam, SPRM memaklumkan pihaknya memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang kira-kira AS$1.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.
Perintah itu melibatkan dua akaun di Amicorp Bank and Trust Limited dan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid selepas berpuas hati dengan permohonan pihak pendakwaan.
Permohonan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menurut SPRM, hasil siasatan Bahagian Operasi Khas mendapati dalam tempoh 2014 hingga 2019, beberapa individu termasuk pemegang akaun dan pengarah syarikat luar negara disyaki terbabit dalam aktiviti menerima, menyembunyikan, memindah serta menukar wang hasil aktiviti haram melalui akaun syarikat di Barbados.
Azam dijadual menamatkan perkhidmatannya pada 12 Mei ini selepas lebih tiga dekad berkhidmat, termasuk lima tahun sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyaksikan pelbagai kejayaan dalam usaha pemulihan aset, khususnya melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Beliau akan digantikan oleh Abdul Halim Aman yang akan memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu pada 13 Mei ini.





