
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan cuaca panas Tahap 1 iaitu kategori berjaga-jaga setakat pukul 6 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan kawasan terlibat meliputi Perlis serta Kedah membabitkan Kubang Pasu, Pendang, Kota Setar dan Padang Terap.
Perak turut mencatatkan cuaca panas di Kuala Kangsar dan Hulu Perak, manakala Kelantan melibatkan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah serta Machang.
Turut terkesan ialah Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing di Gombak serta Sepang.
Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan dua kawasan di Sabah iaitu Beaufort dan Telupid serta satu kawasan di Sarawak, Limbang, turut mencatatkan cuaca panas Tahap 1.
Menurut agensi berkenaan, status Tahap 1 atau berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini berhubung status cuaca panas melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my.





